Monday, December 6, 2010

KENYATAAN MEDIA SPRM

KENYATAAN MEDIA
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA

BEKAS MENTERI BESAR SELANGOR DIDAKWA

Shah Alam – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah
menangkap dan membuat pertuduhan terhadap Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo,
45 tahun yang merupakan bekas Menteri Besar Selangor dan Dato’ Shamsuddin bin
Hayroni, 54 tahun di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas kesalahan di bawah Seksyen
165 Kanun Keseksaan.

Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo dituduh atas kesalahan mendapat barangan
berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah banglo yang berharga RM3.5 juta pada tahun
2007 melalui Dato’ Shamsuddin bin Hayroni yang merupakan Pengarah Syarikat
Ditamas Sdn. Bhd sedangkan hartanah tersebut telah dibeli oleh syarikat tersebut
dengan harga RM6.5 juta pada 23 Disember 2004.

Kedua-dua tertuduh tidak mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut. Mereka
dilepaskan dengan ikat jamin sebanyak RM750,000.00 seorang dengan seorang
penjamin. Kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dan tarikh perbicaraan akan
ditetapkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi kelak. Sekiranya disabitkan dengan kesalahan,
mereka boleh dipenjarakan selama tempoh yang boleh sampai dua tahun, atau dengan
denda, atau dengan kedua-duanya.

Pendakwaan dijalankan oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani bin Patail bersama
Ketua Bahagian Pendakwaan, Tun Abdul Majid bin Tun Hamzah dan Timbalan
Pendakwaraya Tn. Dzulkifli bin Ahmad dihadapan Hakim Azhaniz Teh Azman Teh.
Dato’ Seri Dr. Mohamad Khir bin Toyo diwakili oleh peguam Athimulan & Co. manakala
Dato’ Shamsuddin bin Hayroni tidak diwakili oleh mana-mana peguam.

BAHAGIAN KOMUNIKASI KORPORAT
SURUHANJAYA PENCEGAHAN RASUAH MALAYSIA, PUTRAJAYA
6 DISEMBER

No comments: